Secara individu, pelajar dikehendaki melaksanakan tugas
berikut:
- Pelajar mendapatkan bahasan PBS yang dikeluarkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan membuat nota ringkas berhubungan dengan
PBS berdasarkan bahan yang diperolehi.
- Pelajar menyediakan laman web pembelajaran dan
menyangkut kerja mingguan di laman web pembelajaran masing-masing setiap
minggu.
Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS)
PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang
mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan
psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
PBS dioptimumkan untuk mentaksir
bidang akademik dan bukan akademik. PBS memberi pengiktirafan dan autonomi kepada
guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan
semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang
dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) yang berasaskan sekolah.
Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
Rajah 16: Komponen PBS
Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir,
diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen
pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai
semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
Pentaksiran
Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah
oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh
Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani,
Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir,
direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid
dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum
dan aktiviti ekstra kurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan
marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti
bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran Pkisometrik pula
dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan
(innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran
menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.
Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.
Rajah 17: Objektif PBS
Bagi memastikan kelicinan pelaksanaan PBS, guru seharusnya
menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang
patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan
mengukur penguasaan murid.
Guru diberi pengiktirafan dan
autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan
pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir
tahun.
Untuk mentaksir guru tidak
semestinya menyediakan lembaran kerja bagi setiap kemahiran yang hendak
dinilai. Evidens atau bukti penguasaan murid boleh diperolehi melalui pemerhatian,
jawapan lisan, latihan dalam buku latihan atau buku kerja dan juga kerja rumah.
PBS tidak membataskan kreativiti guru yang sudah tentunya lebih mengenali murid
mereka.
Pentaksiran Rujukan Standard
tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor
prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan
pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan
standard.
Murid-murid dinilai secara adil
dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan,
bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak
sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data
kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang
murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami,
menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna,
penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa
mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.
Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan
bukan lagi sebagai skor mentah seperti
81% atau pun gred A,B,C,D.
BAND
|
STANDARD
|
6
|
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
|
5
|
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
|
4
|
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
|
3
|
Tahu, Faham dan Boleh Buat
|
2
|
Tahu dan Faham
|
1
|
Tahu
|
Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan
kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya
bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 dan seterusnya.
Di Band 2, murid menunjukkan
kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan
apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24
lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.
Di Band 3, murid boleh
menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu
situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah
tambah, tolak, darab dan bahagi.
Murid yang telah mencapai Band 3
dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.
Di Band 4, murid melaksanakan
sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut
prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan
mendahulukan rumah ’sa’.
Di Band 5, murid melaksanakan
sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur
atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid
yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti “Berapa biji telurkah
yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20
sen?”.
Dan akhir sekali, di Band 6, murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan
inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan
serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan
dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan
menjadi contoh secara tekal. Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam
masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00
tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00.